HATI-HATI PILIH KAWAN

Dicatat oleh kurpongtila on 5 Jun 2011

Salam sejahtera semua. Dalam hidup ini adakalanya berlaku peristiwa yang tidak pernah kita duga. Namun walau apapun yang datang, kita harus menerimanya dengan positif. Membaca pengalaman mereka yang disahkan menghidap HIV positif membuatkan saya tersedar betapa hidup ini perlu dihargai. Bagi saya pengalaman dan apa yang dilakukan pada masa remaja akan mempengaruhi dan memberi kesan yang dalam di masa akan datang.
Memang saya akui zaman remaja kini, kita seringkali leka dan tidak terfikir panjang ketika melakukan sesuatu perkara. Malahan pengaruh rakan sebaya sering menghanyutkan kita. Walaupun kita tahu apa yang dilakukan itu tidak baik tetapi jarang yang dapat menembusi kehebatan pengaruh rakan. Nasihat ibu bapa dan ahli keluarga yang lain bagaikan angin yang lalu sahaja. Biar berbuih mulut mak dan ayah tetapi semua masuk telinga kanan keluar telinga kiri. 
Bila sudah tersesat jauh, susah untuk menemui jalan pulang. Bila tersedar, semuanya sudah terlambat. Waktu amat terhad, diri pula disisih oleh keluarga dan masyarakat. Bukan setakat itu sahaja diri sudah cukup hina dan dianggap sampah masyarakat. Tidak ada sesiapa yang sudi berkongsi sengsara, hidup terkontang-kanting tanpa arah tuju menunggu kematian. Mulalah sebak melanda jiwa, "kenapa melakukan kesilapan di waktu remaja? kalaulah ikut nasihat mak dan ayah pasti bukan begini nasib diri".
Itulah yang dikatakan sesal dahulu sesal kemudian tiada guna. Bagi saya sebagai remaja walaupun kita sering mengagung-agungkan teman, namun kita harus melihat ke arah pembawaannya. Kalau dia lebih menganjak ke arah negatif maknanya dia bukanlah teman sejati. Seorang teman sejati tidak sanggup melihat temannya hancur dan hanyut. Sebaliknya kita harus berfikir di usia remaja mencari teman bukan hanya untuk berseronok sahaja. Ini kerana kesilapan memilih teman akan menyebabkan diri sendiri menanggung risikonya. JADI BERHATI-HATILAH DALAM BERKAWAN.